PENYERANG import Terengganu FC, Ismaheel Akinade bersedia untuk berganding bahu dengan gandingan baharu dalam usaha untuk memberi cabaran kepada pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Jumaat.
Penyerang tinggi lampai dari Nigeria itu menjaringkan gol kemenangan apabila skuad Sang Penyu menewaskan Selangor FC 3-2 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan di Gong Badak minggu lalu.
Akinade menguasai bahagian depan dengan sentiasa bertukar posisi dengan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid di bahagian serangan.
Tetapi untuk perlawanan liga, Safawi dan Akhyar tidak dapat bermain kerana mereka dipinjamkan daripada JDT dan Akinade perlu bekerjasama dengan gandingan penyerang yang baharu.
Pemain sayap yang sedia untuk menggantikan duo itu ialah Nik Shareef Haseefy Lazim, Norhakim Hassan, Syafik Ismail dan Engku Nur Shakir Engku Yacob.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Kami akan merindui Akhyar dan Safawi kerana mereka dipinjamkan dari sana (JDT). Kami perlu menyusun semula beberapa perkara dan mencari kombinasi baharu. Jurulatih kami (Tomislav Steinbruckner) akan menyelesaikannya,” kata Akinade.
“Seronok bermain dengan Aky (Akhyar) dan Pawi (Safawi). Kami bertiga mempunyai hubungan baik di dalam dan luar padang. Kami akan cuba menimbulkan masalah kepada pihak lawan.
“Ia akan berbeza menentang JDT tetapi pasukan kami mempunyai beberapa hari untuk membuat persiapan. Kami penuh keyakinan kerana kami belum tewas dalam mana-mana pertandingan lagi. JDT juga tidak pernah tewas.
“Jadi hanya pasukan terbaik akan menang pada hari itu. Kami akan memberikan segala-galanya,” tambahnya.
Pasukan Sang Penyu telah bermain empat perlawanan liga setakat musim ini, mencatat dua kemenangan dan dua seri, kini berada di tempat ketiga dengan lapan mata.
Mereka juga telah memenangi semua perlawanan mereka setakat ini dalam Piala FA.
“Perjalanan masih jauh tetapi saya menikmatinya setakat ini. Ia bagus tetapi sentiasa ada ruang bagi penambahbaikan untuk pasukan,” kata Akinade.