TERENGGANU FC dijangka bakal menjadi salah satu pencabar Liga Malaysia musim 2024-25 apabila menambah kekuatan pasukan dengan membawa masuk bekas penyerang Kelantan United, Ismaheel Akinade sebagai rekrut terbaharu.

Setelah mengumumkan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid sebagai duo terbaharu, skuad Peteh dilihat terus memperkasakan pasukan dengan rekod jaringan Akinade yang cukup baik di Liga Malaysia sepanjang musim 2023.

Pemain kelahiran Nigeria itu akan bergandingan dengan penyerang Croatia, Ivan Mamut sekaligus bakal menyaksikan pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner itu kini mempunyai dua peledak antarabangsa berbisa ditambah kualiti yang ada pada pemain tempatan.

Akinade berkata kekalahan kepada Terengganu musim lalu ketika dia mewakili Kelantan FC membuka matanya dan tidak sabar untuk beraksi di Gong Badak dan berharap dapat mengulangi kejayaan ke kejohanan kelab Asia.

“Saya bermain menentang Terengganu musim lepas di mana kemaraan kami terhalang dan saya rasa teruja untuk menyertai kelab ini dan berharap dapat layak ke kejohanan AFC sekali lagi.

“Harapan saya juga agar dapat memenangi beberapa piala tetapi kita akan lihat apa yang berlaku dan ini sebabkan saya tidak sabar bersama kelab besar ini,” katanya dalam temubual yang dimuatnaik laman sosial rasmi kelab.

Akinade hadir ke Terengganu dengan rekod 11 jaringan dalam tiga kejohanan – lapan Liga Super, dua Piala FA dan satu Challenge Cup sudah tentu akan menjadi perhatian para penyokong yang mahu melihat dia menjaringkan gol dan membantu Terengganu mencabar kejuaraan.