KETUA jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpuas hati dengan corak permainan dan semangat melawan yang ditunjukkan para pemainnya meskipun tewas 0-1 kepada Terengganu FC dalam aksi pramusim Agarbomb Performance Cup 2024.

Akmal yang kini sedang membina pasukan baharu Penang FC sedar bukan mudah untuk bertemu Terengganu, salah satu pasukan pilihan Liga Malaysia namum dia gembira dengan apa yang ditunjukkan para pemainnya dan berharap aksi sebegini dapat dikekalkan ketika musim sudah bermula.

“Saya berpuas hati dari segi komitmen dan ‘fighting spirit’ para pemain kerana kami bukanlah pasukan yang besar dalam Liga Super dan inilah cara permainan kami yang mana saya gembira kerana bukan mudah bertemu salah satu pasukan terbaik dalam negara ketika ini.

Akmal Rizal kini dalam proses membina semula pasukan Penang FC

“Namun begitu masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki terutama ketika merancang gerakan ke bahagian serangan dan satu dua kesilapan yang masih boleh diperbaiki menjelang permulaan musim nanti,” katanya.

Bekas penyerang terbaik kebangsaan itu juga gembira dengan persembahan pemain-pemain importnya namun dia masih memerlukan satu lagi pemain di bahagian tengah untuk mengatasi masalah yang dihadapi ketika ini.

“Semua tahu akan kualiti yang ada pada Rafael Vitor yang juga ketua pasukan kami manakala Richmond dan Dias juga memberikan aksi yang baik manakala pemain import dari Republik Korea masih dipertimbangkan sama ada kami akan menandatanganinya.

Prestasi pemain import Penang FC dapat pujian barisan kejurulatihan

“Dalam masa yang sama, saya juga menanti kata putus dari pihak pengurusan sama ada saya boleh membawa masuk seorang lain pemain di posisi ‘attacking midfielder’ yang mana kami sudah kenal pasti dari benua Amerika Selatan.

“Saya berharap pihak pengurusan dapat melihat perlawanan ini dan mengerti bahawa kami sangat memerlukan pemain di posisi ini untuk membantu kami menjadi lebih kreatif di bahagian serangan,” jelasnya.

Akmal juga akan menggunakan platform pramusim ini untuk semua pemain menunjukkan prestasi terbaik mereka untuk merebut kesebelasan utama tanpa mengira sama ada pemain senior ataupun muda yang dibawa naik dari skuad B-23.

Atas sebab ini, dia merancang untuk menukar keseluruhan kesebelasan utama apabila menentang Terengganu FC II dalam aksi kedua Agarbomb Performance Cup 2024 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.