PENGENDALI interim Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli merasakan pasukan itu perlu melakukan rombakan sekiranya mahu bersaing dengan kelab besar lain dalam saingan Liga Super atau sekurangnya berada dalam kelompok enam pasukan terbaik musim hadapan.
Menjadikan perlawanan menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai contoh, Akmal Rizal mengakui terdapat jurang perbezaan kualiti antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan skuad Harimau Kumbang dibelasah 0-8 pada perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Bekas penyerang skuad kebangsaan berusia 43 tahun itu berkata, kekalahan itu dianggap satu pengajaran berguna untuk pemain dan dirinya agar perlu mempersiapkan pasukan yang lebih bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan besar di saingan liga.
“Ketika ini pihak pengurusan Penang FC belum buat keputusan sama ada saya kekal atau ada jurulatih lain akan ambil alih tugas sebagai ketua jurulatih, tetapi jika ada rezeki dan kepercayaan diberikan, saya pasti akan melakukan banyak perubahan dan memperbaiki kelemahan di bahagian tertentu.
“Saya bertekad akan mengubah bola sepak Penang FC sekiranya diberikan tanggungjawab menerajui pasukan untuk musim depan dan menjadikan pasukan ini jauh lebih baik daripada apa yang dihadapi dalam tiga musim kebelakangan ini.
“Syukur dalam tiga perlawanan terakhir ini, kita berjaya mengutip empat mata dan pada perlawanan ini semua pihak dapat lihat sendiri banyak yang perlu kita lakukan untuk menyediakan pasukan di musim depan jika kita mahu berada dalam kelompok empat atau enam pasukan terbaik,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Harimau Kumbang menjadi mangsa amukan Harimau Selatan dengan Arif Aiman menjaringkan empat gol manakala Bergson menjaringkan dua gol dan masing-masing satu menerusi Akhyar Rashid dan Heberty.
Penang FC menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan mengumpul 24 mata setelah merekod enam kemenangan, enam seri dan 14 kekalahan daripada 26 perlawanan.