PENYERANG Qatar, Akram Afif dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Lelaki Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 manakala pemain Jepun, Kiko Seike dianugerahkan Pemain Terbaik Wanita ketika Anugerah Tahunan AFC yang berlangsung di Seoul, Republik Korea pada Selesa.
Pemain terbabit cemerlang ketika membantu Qatar menjuarai Piala Asia pada awal tahun ini, dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan dan memenangi kasut emas dengan lapan gol, termasuk hatrik ketika menentang Jordan dalam perlawanan akhir.
Ini adalah kali kedua pemain berusia 27 tahun itu dinobatkan sebagai pemain terbaik Asia, selepas pertama kali memenangi anugerah itu pada tahun 2019 selepas memenangi Piala Asia bersama Qatar.
Akram yang pernah bermain di Belgium dan Sepanyol pada awal kariernya, juga memimpin kelab Al Sadd untuk memenangi dua kejuaraan domestik di Qatar.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada isteri saya, rakan sepasukan, semua jurulatih pasukan kebangsaan dan kakitangan pentadbiran dan akan cuba sebaik mungkin untuk memenangi anugerah ini buat kali ketiga,” katanya pada majlis anugerah itu.
Akram menjadi pemain ketiga yang memenangi anugerah ini lebih daripada sekali, mengikut jejak langkah Hidetoshi Nakata dari Jepun dan Server Djeparov dari Uzbekistan.
Seike pula memenangi anugerah kategori wanita selepas menjaringkan 20 gol untuk membantu Urawa Red Diamonds Ladies memenangi gelaran domestik Jepun bagi tahun kedua berturut-turut.
Dia juga memainkan peranan penting apabila Urawa memenangi gelaran kelab Asia dan menjadi sebahagian daripada pemain dalam skuad Jepun yang layak ke suku akhir Olimpik Paris 2024.
“Saya sangat berbesar hati untuk menerima anugerah ini dan akan terus bekerja keras untuk lalukan yang terbaik buat kelab dan negara saya serta untuk meningkatkan nilai dalam bola sepak wanita di Asia,” katanya menerusi sidang video.
Dalam majlis yang sama, bintang Republik Korea, Son Heung-min dipilih sebagai Pemain Terbaik Antarabangsa Lelaki AFC manakala Ellie Carpenter dari Australia sebagai Pemain Terbaik Antarabangsa Wanita AFC.