PEMAIN tengah bertahan, Akram Mahinan mengesahkan dia bakal meninggalkan Kuala Lumpur City FC menjelang musim baharu Liga Malaysia 2024-25 selepas menabur bakti selama empat tahun bersama kelab Warga Kota itu.
Pemain kelahiran Kedah itu memuat naik hantaran di media sosial peribadinya untuk mengucapkan selamat tinggal sekaligus bergelar ejen bebas dan kini mula dirisik beberapa kelab yang cuba mendapatkan khidmatnya.
“Alhamdulilah, empat tahun yang terindah bersama pasukan KL City FC. Sejujurnya, tahun 2023 adalah tahun yang mencabar buat saya dan mungkin juga untuk orang lain. Kita mengharungi turun naik, pahit manis sebagai satu pasukan.
“Tetapi sedikit pun tidak mematahkan semangat kami sebagai satu pasukan untuk terus memberikan yang terbaik. Kita telah mencipta banyak memori indah bersama yang saya akan disimpan dalam hati saya.
“Sayangnya, saya fikir inilah masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan dan penyokong KL City FC. Terima kasih kepada semua jurulatih dan staf KL City FC. Tidak dilupakan juga presiden kelab.
“Semua penyokong KL City FC yang sentiasa berada di belakang kami. Sedikit sebanyak anda juga menjadi penyumbang kepada kejayaan ini. Terima kasih Warga Kota. Insya Allah sampai jumpa lagi,” tulisnya dalam hantaran itu.
Sejak menyertai KL City pada musim 2020, Akram berjaya membantu kelab naik ke Liga Super sebelum menjuarai Piala Malaysia pada 2021 dan layak ke final Piala AFC pada 2022 serta ke final Piala FA pada 2023 dan bergelar naib juara dalam kedua-dua final itu.
Akram adalah pemain ketiga meninggalkan KL City selepas Kevin Ray Mendoza yang berhijrah ke Persib Bandung dan Romel Morales yang masih belum mengesahkan kelab baharu yang bakal disertainya.