SELANGOR FC berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC 3-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ pada Rabu.
Bagaimana pun, Selangor FC dikejutkan dengan jaringan lawan menerusi Amirbek Juraboev yang membuka jaringan pada minit keenam permainan sekaligus meletakkan skuad kendalian Nafuzi Zain di hadapan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Red Giants bangkit mencari gol penyamaan dan ianya hadir pada minit ke-23 menerusi sepakan percuma Ayron.
Aksi berbalas gol berlaku apabila menyaksikan Sang Kenari sekali lagi mengejutkan gawang tuan rumah menerusi Willian Lira kembali pada minit ke-28.
Melengkapkan babak pertama permainan, Faisal Halim memastikan Selangor tidak ketinggalan gol apabila berjaya menyamakan kedudukan sebelum wisel rehat dibunyikan.
Bersambung babak kedua, skuad Tan Cheng Hoe menggunakan peluang sepenuh untuk mencari gol dan sepakan percuma dari Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-78 menjadikan mereka berada di depan lawan.
Keputusan kekal 3-2 hingga perlawanan berakhir.
Kemenangan tersebut juga menyaksikan Selangor selesa berada ditangga kedua Liga Super setakat ini.