AKSI Selangor FC melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh diibaratkan buku bertemu ruas kerana kedua-dua pasukan berada pada momentum terbaik untuk meneruskan kemenangan.

Bagi pasukan Selangor FC, tewas 1-2 pada perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum ini, pastinya sesuatu yang perit untuk ditelan namun skrip tersebut boleh berubah seandainya mereka turun memberikan segala-galanya di laman sendiri.

Selepas menang tipis 2-1 tempoh hari menentang Penang FC, skuad kendalian Tan Cheng Hoe dilihat mula memahami rentak permainan yang dimahukan jurulatih tersebut.

Biarpun persembahan Gergasi Merah dilihat tidak sepenuhnya meyakinkan, namun perkembangan positif adalah apabila pemain import yang diharapkan menyinar sudah mula menunjukkan kemampuan terutama dalam aspek menghasilkan jaringan.

Pemain-pemain seperti Noor-Al Rawabdeh, Ayron del Valle sudah mula menunjukkan keserasian bergandingan bersama pemain tempatan, Mohamad Faisal Abdul Halim di jentera tengah dan serangan.

Manakala, bagi pasukan JDT, skuad kendalian Esteban Solari tidak boleh disangkal kemampuan dan kehebatan mereka.

Dengan empat kemenangan bersih yang dicatat berturut-turut, Harimau Selatan masih belum mampu digugat mana-mana pasukan sehingga kini.

Dibarisi beberapa pemain import baharu dalam kesebelasan utama pasukan seperti Endrick Dos Santos, Juan Muniz dan Oscar Arribas, Harimau Selatan sudah boleh menarik nafas lega kerana biarpun perlawanan liga baru bermula, mereka telah menunjukkan ketajaman di bahagian serangan pasukan.

Feroz Baharuddin juga antara pemain muda yang meningkat naik. Wataknya yang berani dan tidak mengira struktur fizikal lawan juga menjadi satu aset penting kehadiran pemain ini bersama Harimau Selatan.

Atas kertas, tentunya juara kali kesembilan berturut-turut Liga Super itu sekali lagi menjadi pilihan namun segala-galanya boleh berubah kerana bersandarkan prestasi semasa dan ditambah dengan faktor ‘bola itu bulat’, sebarang kemungkinan bakal terjadi.

Mengikut rekod lima perlawanan lepas, nyata memihak JDT dengan tiga kemenangan dan dua seri yang berjaya dicatatkan sejak pertembungan musim lalu.