PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memuji kelibat bek kanan berpengalaman, Mohd. Rizal Ghazali dan pemain sayap, Saddil Ramdani ketika kemenangan 4-0 ke atas Terengganu FC (TFC), semalam.
Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, gandingan Mohd. Rizal dan Saddil banyak mengkucar-kacirkan benteng TFC selain menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan.
“Semua pemain harus diberi pujian kerana menunjukkan komitmen tinggi dan corak permainan cukup berdisiplin termasuk mereka yang baru pulang dari kem pasukan kebangsaan.
“Tapi boleh dilihat persefahaman begitu baik antara Mohd. Rizal dan Saddil yang cukup berbahaya ketika melancarkan serangan dari sebelah tepi dan mereka sangat menjadi malam ini (semalam).
“Kami berjaya menyudahkan peluang terhidang dan apabila mendahului 3-0 pada babak pertama, ia menyukarkan TFC untuk kembali dalam permainan,” jelasnya dalam sidang media perlawanan.
Tambah Kim Swee, kemenangan itu meletakkan Sabah pada landasan terbaik memburu gelaran naib juara Liga Super berbaki tiga perlawanan meskipun masih di tempat keempat dengan 48 mata.
Katanya, tekanan kini lebih dirasai Kedah Darul Aman (KDA) di tempat ketiga dan Selangor tempat kedua sambil melaungkan kesediaan Sabah sedia untuk terus menghambat dua pasukan itu.
“Namun kami harus fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dan tumpuan kini beralih kepada Piala AFC bertemu Hougang United di Singapura pada Khamis dan selepas itu kembali ke saingan domestik,” katanya.