Aksi ‘Derbi Borneo’ antara Sabah FC dan Sarawak United di Stadium Likas esok pastinya akan menjadi tumpuan para peminat bola sepak tempatan apabila kedua-dua pasukan kini berada dalam keadaan nasib yang berbeza.

Sabah FC yang kini berada di tangga kedua liga dilihat semakin bertenaga dan konsisten menekan JDT di tangga teratas manakala Sarawak United masih mencari-cari rentak dengan persembahan yang agak yoyo.

Bermain di hadapan penyokong sendiri pastinya akan memberikan kelebihan buat Sabah FC yang sememangnya garang di Likas dengan mencatat lima kemenangan dan dua kekalahan.

Namun begitu ianya bukanlah tiket untuk mengenepikan Sarawak United kerana skuad Bujang Senang ini pula mempunyai rekod yang agak baik di laman lawan dengan empat kemenangan dan tiga kekalahan.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee pasti masih segar dengan kemenangan minit akhir ke atas Melaka United sebelum ini manakala skuad bimbingan S.Balachandran pula berjaya meraih mata penuh di Pulau Pinang sekaligus melonjak ketangga ke-10 liga.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, Sabah FC  berjaya memenangi perlawanan pertama di Kuching April lalu dengan penalti Baddrol Bakhtiar menjadi pemisah kedua-dua pasukan.

 

Para penyokong Sabah FC  juga dilihat sangat teruja menanti perlawanan ini dengan jualan tiket dikhabarkan laris dan tinjauan Flash Sukan di laman penyokong tuan rumah di media sosial menyaksikan rasa tidak sabar mereka untuk bergelar ‘King of Borneo’.

Mampukah Sarawak United menyekat hajat Sabah FC untuk mencatat rekod satu lagi kemenangan. Pastinya satu perlawanan yang menarik bakal disajikan oleh kedua-dua pasukan.