KEMENANGAN yang cukup dramatik dipamerkan pesilat muda negara, melakukan kebangkitan pada 10 saat terakhir untuk memenangi pingat emas pertama di Sukan Sea Kemboja.
Norsyakirah Muksin, 22, berasal dari Kota Marudu, Sabah yang kelihatan gugup di awal pertarungan menentang Suci Wulandari (Indonesia), sentiasa ketinggalan di belakang pesilat berpengalaman tetangga itu, dalam aksi Tanding bawah 45 kilogram (kg) wanita.
Hingga pada satu ketika, dia ditinggalkan lawan 22-11, dan rebah akibat ditumbuk lawan tepat ke muka.
Sedikit demi sedikit dia bangkit merapatkan jurang sehingga mengikat mata 33 sama ketika perlawanan berbaki 10 saat untuk ditamatkan.
Norsyakirah berjaya menjatuhkan lawan dan memperoleh tiga mata berharga sebelum wasit menamatkan saingan ketika pesilat negara itu di depan 36-33.
“Saya janji nak bagi hadiah hari lahir mak saya, jadi kemenangan ini untuk dia,” kata Norsyakirah.
Menurut pesilat itu, hari lahir ibunya Sarinah Abdul Sikal, 54, jatuh pada 5 Mei lalu dan dia menghubungi ibunya pagi tadi, sambal menangis kerana bimbang tidak mampu memenangi emas.
Sementara itu, Nor Farah Mazlan turut meraih pingat emas dalam acara Tanding Kelas A 45kg-50kg wanita, selepas wasit memutuskan membatalkan penyertaan Nadhrah Sahrin dari Singapura, Ketika Farah mendahului 23-16.
Pembatalan Nadhrah itu dibuat, selepas pesilat Singapura itu tiga kali melakukan kesalahan besar yang sudah diberi amaran, dengan melakukan sepakan di kawasan tidak dibenarkan.
Kemenangan Farah itu amat bermakna kerana dia hampir tidak dapat bertanding di final selepas mengalami patah jari manis kanan, namun pemeriksaan doktor kejohanan membenarkannya bertanding.
Sementara itu, satu lagi pingat emas diraih pesilat lelaki, Muhammad Izzul Irfan Marzuki dalam acara Tanding Kelas D 60-65kg lelaki.
Dia menewaskan pesilat Indonesia Kadek Andrey Nova Prayada 39-33.