BAHANG final Piala FA antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim di Stadium Nasional Bukit Jalil sememangnya hangat dan menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tanah air.
Dengan lebih 84,000 yang hadir di stadium ditambah ribuan lagi di kawasan sekitar stadium, suasana yang telah dirindui selama dua tahun akibat penularan pandemik Covid-19 akhirnya kembali dan ianya sangat mengujakan.
Tidak cukup dengan itu, siaran langsung yang disiarkan pada Sabtu itu turut menerima lebih 5 juta tontonan menerusi platform YouTube unifi di internet dan juga di saluran percuma TV9 dan saluran Sukan RTM dan TV Okey.
Siaran langsung di YouTube unifi mencatatkan angka 2.8 juta tontonan manakala di TV9 mencatatkan angka 2.1 juta penonton. Bagaimanapun angka ini tidak termasuk angka siaran langsung di saluran Sukan RTM dan di TV Okey.
Liga Malaysia sememangnya menunjukkan trend peningkatan dari sudut tontonan secara langsung terutama di platform YouTube unifi dengan perlawanan melibatkan Johor Darul Ta’zim sering mencatat angka melebihi sejuta tontonan.
Kolaborasi terbaharu dengan TV9 juga menunjukkan hasil yang baik dengan purata hampir 1.5 juta tontonan untuk setiap perlawanan yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Peningkatan trend ini juga selari dengan kedudukan ranking Liga Malaysia yang kini muncul liga nombor satu Asia Tenggara selepas persembahan cemerlang tiga kelab Malaysia di peringkat Asia, Johor Darul Ta’zim, Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman.
Ini sekaligus memberikan impak yang baik terutama kepada pengelola liga, Malaysia Football League (MFL) yang boleh menggunakan angka-angka ini untuk meyakinkan lebih ramai penaja untuk memberikan tajaan kepada liga ini.
Tahniah diucapkan kepada semua penyokong bola sepak tempatan yang sering memeriahkan suasana sama ada di stadium mahupun menerusi siaran langsung yang kini boleh ditonton di mana sahaja mengikut platform pilihan masing-masing.