PEMAIN skuad kebangsaan bawah 23 tahun (b-23), Fergus Tierney menganggap prestasi terbaik Harimau Malaya di pentas Asia lalu sebagai punca pembakar semangat untuknya beraksi lebih baik.
Fergus yang juga memegang watak utama dalam pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II percaya bahawa skuad Harimau Muda akan mempamerkan aksi yang lebih baik daripada skuad senior mereka dalam mendepani cabaran dari negara-negara besar.
Skuad kebangsaan b-23 bakal mengharungi kempen Piala Asia yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada 15 April hingga 3 Mei 2024.
“Selepas kami melihat keputusan seri Harimau Malaya ketika menentang Korea Selatan di Piala Asia Qatar lalu, ianya telah beri kami harapan supaya kami juga dapat memberi saingan dengan pihak lawan yang berada di ranking lebih tinggi daripada kita.
“Kami berharap agar kami dapat melakukan yang lebih baik daripada pasukan senior kerana mereka telah menyuntik semangat kepada kami.
“Saya juga berimpian agar kami dapat memenangi setiap perlawanan dalam Piala Asia b-23 akan datang tidak kira berjumpa dengan mana-mana pasukan, saya akan sentiasa beri yang terbaik,” ujar Fergus kepada FLASH SUKAN.
Pemain kacukan Malaysia-Scotland itu juga mendedahkan bahawa persiapan pasukannya kini berada pada landasan yang baik, tambahan kem latihan seterusnya akan bermula pada bulan Mac depan.
Artikel Berkaitan: Piala Asia B-23: Malaysia dan Indonesia sahkan saingan empat penjuru
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa skuad kebangsaan b-23 bakal menyertai saingan empat penjuru di Indonesia pada Mac 2024.
Pengurus skuad b-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar menyatakan setakat ini hanya pasukan Malaysia dan Indonesia sahaja yang sudah mengesahkan penyertaan ke saingan tersebut.