PERLAWANAN keempat Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Oman kekal dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpuas hati dengan keadaan padang di stadium itu.

Menerusi hantaran di laman sosial rasmi FAM, Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin telah melakukan lawatan ke Stadium Nasional pada Khamis untuk meninjau sendiri keadaan padang stadium itu digunakan untuk penganjuran konsert Ed Sheeran pada hujung Februari lalu.

Turut serta dalam lawatan itu adalah Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac bersama-sama ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon serta barisan kejurulatihannya serta beberapa ahli jawatankuasa tertinggi badan bola sepak negara.

Hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan tersebut telah mendapati bahawa persediaan padang menjelang perlawanan pada 26 Mac ini adalah mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin akan berada pada tahap yang terbaik untuk perlawanan itu.

Dengan pengesahan venue tersebut, tiket bagi perlawanan Malaysia lwn Oman itu akan mula dijual secara dalam talian bermula 9 Mac 2024 dengan harga tiket bagi semua kategori dikekalkan sama seperti perlawanan pertama menentang Republik Kyrgyz, November lalu.

Bagi kategori tiket Terbuka, harga telah ditetapkan pada RM40 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun manakala RM60 bagi tiket Grandstand dan RM80 bagi tiket Premium.

Pemasangan rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan kem latihan pusat pada Jumaat bagi persiapan menghadapi Oman untuk perlawanan ketiga di Muscat pada 21 Mac sebelum bertemu lawan yang sama di Bukit Jalil pada 26 Mac 2024.