AKSI Liga Super Malaysia minggu ketiga dan keempat yang berlangsung pada pertengahan dan hujung minggu lalu mencatatkan jumlah tontonan yang tinggi dan konsisten menerusi siaran langsung di platform YouTube unifi.
Selepas liga berehat hampir tiga minggu kerana perlawanan antarabangsa, para penyokong nyata menunggu aksi pasukan kesayangan masing-masing dan bulan Ramadan jelas tidak menjejaskan jumlah tontonan siaran langsung.
Untuk aksi minggu ketiga, lebih 3.4 juta menyaksikan siaran langsung kesemua enam perlawanan dengan pertembungan Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatatkan tontonan tertinggi iaitu 1 Juta.
Ini diikuti perlawanan dramatik antara Kedah Darul Aman dan Sri Pahang FC yang berjaya menarik 863,000 tontonan manakala baki empat lagi perlawanan menarik minat purata 390,000 tontonan.
Aksi hujung minggu lalu juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya juga mencatat tontonan lebih 3.4 juta dengan sekali lagi aksi melibatkan JDT mencatat angka tertinggi dengan 1.3 juta mata menyaksikan perlawanan menentang Terengganu FC.
Pertemuan Selangor FC dan Kedah Darul Aman kedua dengan 706,000 tontonan dan derbi Borneo berjaya meraih hampir 450,000 tontonan. Tiga lagi perlawanan menyaksikan purata hampir 320,000 tontonan.