LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pertukaran waktu sepak mula bagi perlawanan Piala FA membabitkan perlawanan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Bukit Tambun FC yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Aman.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, MFL telah bersetuju untuk mengubah waktu perlawanan itu daripada 6.30 petang ke pukul 9 malam.

“Dimaklumkan bahawa MFL telah mengemaskini perlawanan Piala FA 2024-2025.

“Waktu sepak mula perlawanan Kedah Darul Aman FC melawan Bukit Tambun FC pada 14 Jun 2024 (Jumaat) dikemaskini dari pukul 6.30 petang ke pukul 9 malam.

“Walaupun waktu sepak mula sebelum ini telah dipersetujui oleh kedua-dua kelab berkenaan, kemaskini ini adalah merujuk kepada sensitiviti waktu solat Maghrib di Kedah,” tulis MFL dalam kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN : Penyokong Sang Kenari harap MFL peka, sensitif perlawanan dekat waktu solat Maghrib

Semalam, MFL telah mengubah beberapa waktu perlawanan pusingan pertama Piala FA yang melibatkan pasukan Kuala Lunpur City FC dan Kuching City, Sabah FC dan Kuala Lumpur Rovers dan KDA FC dan Bukit Tambun FC.

Pertukaran waktu bagi perlawanan di Alor Setar telah mencetus kekecohan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, khususnya penyokong Hijau Kuning yang menyifatkan MFL tidak peka dengan waktu solat Maghrib.