GIANCARLO Gallifuoco menganggap perjalanan kariernya bersama Kuala Lumpur City FC adalah sesuatu yang menakjubkan.
Tiga final dalam tempoh empat tahun bersama skuad warga kota itu pastinya satu pencapaian yang boleh dibanggakan buat pemain kelahiran Sydney, Australia itu.
Malah Gallifuoco memahat rekod tersendiri bersama Kuala Lumpur apabila membuat penampilan ke-100 ketika beraksi menentang Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super yang berkesudahan seri 0-0 semalam.
Pastinya bekas pemain kelab Tottenham Hotspur, Swansea City dan Melbourne Victory itu boleh tersenyum bila mengimbas kembali kariernya turun naik bersama Kuala Lumpur.
“Saya amat gembira dan bersyukur kerana kali pertama datang ke sini, saya masih ingat saya duduk di dalam bilik bersama Stanley Bernard (CEO Kuala Lumpur City) dan beliau memberitahu saya jangan biarkan kelab ini tersingkir.
“Dalam tempoh empat tahun selepas itu kami berjaya memenangi Piala Malaysia (2021), memasuki final Piala FA (2023) dan final Piala AFC (2022). Saya sangat gembira kerana diterima dengan baik di sini seperti sebuah keluarga. Saya sangat gembira dengan pencapaian saya bersama Kuala Lumpur dan harap akan lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.
Dengan apa yang telah diraih Gallifuoco, pastinya dia juga layak untuk berada dalam senarai antara pemain import legenda Kuala Lumpur.
Dalam aksi ke-100 Gallifuoco semalam (Sabtu), tonggak pertahanan itu berjaya membantu mengekang asakan Sri Pahang daripada dibolosi untuk seri tanpa jaringan.
“Memang kami jangkakan perlawanan yang sukar, Pahang ramai pemain bagus, tidak kira apa posisi dalam kesebelasan utama mereka, kami tahu kualiti yang mereka ada.
“Saya fikir kami bertahan dengan baik, menyerang dengan baik cuma malangnya kami tidak klinikal dalam menyempurnakan peluang yang ada.
“Mungkin bagi yang menyaksikan perlawanan percaya yang kami sebenarnya berhak dapat tiga mata tapi tak mengapa, kami merekod tiga perlawanan tanpa bolos berturut-turut. Kami kena teruskan rentak ini intuk perlawanan seterusnya,” katanya.