AKSI persahabatan ketiga Siri Jelajah Eropah, menjadi perlawanan penting buat skuad hoki kebangsaan.

Bukan hanya kemenangan ke atas Perancis esok menjadi sasaran, malah peningkatan prestasi pasukan juga perlu dipamerkan.

“Benar, kita mempamerkan peningkatan dalam permainan. Segala-gala input dari perlawanan terdahulu menentang Belgium, amat berguna untuk kita hadapi Perancis.

“Jadi saya memang mahu pemain mempamerkan peningkatan prestasi, baik dari segi ‘circle penetration’ mahupun pergerakan pemain,” kata Arul ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Pada perlawanan esok, dia ingin The Speedy Tigers lebih ampuh berdepan situasi ‘body contact’, biarpun pemain lawan lebih besar.

Katanya, pemain juga harus bijak mencari ruang jika mahu mengelakkan ‘body contact’ pemain lawan.

“Saya harap pemain lebih tenang ketika melakukan hantaran kerana jika kita gopoh melakukan hantaran, ia tidak sempurna dan memberi ruang buat lawan mencuri bola,” katanya.

Sementara itu, ketika menang 1-0 ke atas Belgium A dan tewas 0-7 kepada skuad utama Belgium, skuad negara tewas dalam kedua-dua perlawanan test penalty shoot-out.

Skuad negara tewas 1-3 kepada Belgium A dan 2-4 di tangan Belgium.

“Untuk penalti shoot-out pula, kita harus memberi lebih banyak perhatian dan fokus. Setiap pemain yang diberi tanggungjawab hendaklah ada kepercayaan diri,” kata Arul lagi.

Skuad negara akan menentang Perancis jam 6 petang (Malaysia) esok, di Sportcentrum Wilrijkse Plein, Antwerp, Belgium, sebelum kedua-dua pasukan sekali lagi turun beraksi pada Rabu.