MEMILIKI kad Orang Kurang Upaya (OKU) Down Syndrome tidak menghalang Nik Zharif Aimran Nik Suhaimi untuk beraksi jaguh dalam sukan bowling yang diminatinya.

Video Zharif yang berusia 24 tahun itu tular mendapat sehingga 10.6 juta tontonan di aplikasi TikTok dan memikat hati ramai yang menontonnya apabila dia melakukan ‘spare’ serta mendapat pujian kerana aksi ‘left handed bowler’nya.

@nikzharifaimran

#nza #t21 #lefthandedbowler #Bangi #Malaysia #spare

♬ DJ Kuberlayar Di Lautan Tidak Bertepian - MASTER RMX

Ayahnya Nik Suhaimi Nik Jaafar berkata, Zharif telah didedahkan dengan dunia sukan bowling sejak dia berumur 11 tahun lagi kerana bowling merupakan satu-satunya sukan yang dapat dikuasai dengan kemahiran yang baik.

Dalam pada itu, Zharif juga pernah dipanggil ke para Sukma Ipoh pada 2018 mewakili Selangor namun memandangkan mempunyai masalah pembelajaran, dia tidak dibenarkan untuk bermain susulan syarat Majlis Paralimpik Malaysia memerlukan ujian IQ .

Buat masa ini, Zharif tidak bermain untuk mana-mana kelab dan hanya menyertai acara Magister Bowling Club iaitu kelab bowling di kalangan guru terutama di Selangor.

Selain dari memiliki Down Syndrome, Zharif juga adalah seorang pejuang kanser darah (AML) pada usia seawal dua tahun namun telah disahkan sembuh sepenuhnya selepas menjalani kimoterapi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) ketika usia 11 tahun.

Nik Suhaimi juga menyatakan harapan agar ada pihak yang sudi melihat potensi dan bakat yang dimiliki anaknya.