AKSI Liga Super Malaysia kembali bersambung selepas berehat hampir tiga minggu untuk memberi laluan kepada saingan Sukan SEA ke-32 di Kemboja dengan beberapa perlawanan bakal menarik minat penyokong bola sepak tempatan.
Tujuh perlawanan akan berlangsung bermula pada Khamis hingga Sabtu dengan kesemua pasukan berpeluang untuk memperbaiki kedudukan masing-masing dalam carta liga sebelum berakhir pusingan pertama yang berbaki dua perlawanan.
PDRM FC akan memulakan saingan LS11 berhadapan Negeri Sembilan FC di Kelana Jaya dengan skuad The Cops sudah tentu mahu kembali ke landasan kemenangan selepas tewas tipis kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum liga berehat.
Negeri Sembilan FC pula dalam momentum terbaik apabila menumpaskan Kuala Lumpur City FC dalam keadaan pasukan yang serba kekurangan tanpa pemain import yang lengkap dan pastinya Skuad Jang mahukan kemenangan kedua berturut-turut untuk kembali bersaing di peringkat pertengahan.
Cabaran terbesar minggu ini menjadi tugas Kuching City FC apabila bakal berhadapan JDT di Kuching. Tanpa kemenangan dalam sembilan perlawanan, skuad bimbingan Irfan Bakti ini menghadapi lawan paling sukar sejak dinaikkan pangkat ke Liga Super dan pastinya mereka mahu mengelakkan dari menjadi mangsa belasahan terbaharu.
Meskipun berehat panjang namun taring Harimau Selatan tetap tajam apabila membelasah Kelantan United FC 6-0 di Iskandar Puteri dan anak-anak buah Esteban Solari sudah pasti mahu menjadikan Kuching City sebagai mangsa seterusnya bagi memastikan mereka kekal tanpa kalah dalam 11 perlawanan.
Sabah FC pula berhadapan Terengganu FC di Likas dengan Skuad Badak mempunyai rekod tanpa kalah di laman sendiri dan meskipun bukan mudah menentang Skuad Penyu, namun Sabah dilihat mempunyai kelebihan berdasarkan prestasi semasa.
Bukan menidakkan kekuatan barisan kendalian Tomislav Steinbruckner, tetapi rekod TFC di laman lawan tidak begitu menarik dengan terbaharu dibelasah Gergasi Merah 5-1 di Kelana Jaya dan Likas bukanlah arena yang mudah untuk membawa pulang mata.
Kedah Darul Aman FC yang baru pulang dari kem bina semangat di Langkawi bakal berhadapan pasukan yang mempunyai banyak masalah di dalam dan luar padang, Kelantan FC dengan KDA dilihat tidak berdepan masalah untuk mendapatkan tiga mata penuh di laman sendiri.
Kelantan FC yang sedang bergelut mungkin akan turun dengan misi mempertahankan maruah pasukan namun para pemain muda yang masih kurang berpengalaman dilihat sukar untuk menyekat Sang Kenari sekurang-kurangnya untuk membawa pulang satu mata.
Skuad muda Perak FC pula berdepan cabaran getir bertemu Selangor FC yang mahu kembali ke landasan kemenangan. Kembalinya barisan pemain kebangsaan dari kem Sukan Sea bakal membawa impak positif buat Gergasi Merah meraih kemenangan di Ipoh.
Anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim pula meskipun masih kurang berpengalaman namun mempamerkan semangat juang luar biasa diatas padang dan ini boleh menjadi duri dalam daging buat Selangor jika tidak berhati-hati.
Penang FC
Cuaca panas membahang bakal menjadi ujian buat Sri Pahang FC apabila bertemu Penang FC di Kuantan. Skuad Tok Gajah masih belum tewas dalam saingan Liga Super musim ini dan pastinya mereka mahu mengekalkan rekod cemerlang itu di hadapan penyokong sendiri.
Penang FC juga kini dalam prestasi terbaik selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan dan baru sahaja menewaskan Kedah Darul Aman FC 5-2 dalam aksi persahabatan sebagai persediaan menghadapi Sri Pahang.
Tanpa Ketua Jurulatih dan baru sahaja dibelasah teruk 6-0 di Iskandar Puteri, Kelantan United FC kembali ke Kota Bhasru selepas beraksi lapan permainan di tempat lawan dan sudah tentu akan menggunakan kesempatan ini untuk mencari kemenangan pertama musim ini.
Namun lawan mereka Kuala Lumpur City FC bukanlah lawan yang mudah dan kekalahan kepada Negeri Sembilan FC sudah tentu akan membakar lagi semangat para pemain KL City untuk meraih tiga mata penuh apabila bertandang ke Kota Bharu.
Siapakah yang bakal muncul sebagai pemenang dari tujuh perlawanan ini dan dapatkan JDT memanjangkan lagi rekod kemenangan mereka, ayuh ke stadium dan berikan sokongan kepada pasukan kesayangan.