KERANCAKAN aksi Liga Super Malaysia semakin mendapat perhatian para penyokong tempatan apabila sekali lagi mencatatkan angka yang baik sama ada menerusi siaran langsung mahupun dengan kehadiran ke stadium.
Minggu Ke-15 Liga Super menyaksikan empat perlawanan berlangsung dan mendapat 3.5 juta tontonan menerusi siaran langsung di platform YouTube unifi. Angka ini tidak termasuk jumlah tontonan siaran langsung di platform unifi TV, Sukan RTM dan TV9.
Perlawanan pra final Piala FA antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim mendapat 1.7 juta tontonan di internet manakala aksi Borneo Derby mencatatkan jumlah tontonan hampir 1 juta.
Aksi dramatik melibatkan Negeri Sembilan FC dan Penang FC berjaya meraih 478,000 tontonan manakala kebangkitan semula Sri Pahang FC menewaskan PJ City disaksikan 425,000 tontonan.
Secara purata, empat perlawanan ini mendapat 883,000 tontonan untuk satu malam di pertengahan minggu dan angka ini sangat baik buat digunakan pengelola liga untuk menarik penajaan.
Tidak cukup dengan siaran langsung, kehadiran di stadium juga dilihat menggalakkan terutama untuk perlawanan pertengahan minggu dimana ramai penyokong yang bekerja keesokan harinya.
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan 13,689 penyokong hadir memberikan sokongan kepada Terengganu FC dan mereka disajikan aksi mantap kedua-dua pasukan.
Penyokong Sabah FC yang terkenal dengan sikap fanatik mereka sekali lagi tidak menghampakan pasukan apabila 10,073 orang membanjiri Stadium Likas dan sama-sama meraikan kemenangan Sabah FC ke atas pasukan tetangga Sarawak United.
Negeri Sembilan FC juga yang dilihat sebagai kuda hitam dalam saingan Liga Super kali ini melihatkan kehadiran sebanyak 5,467 penyokong tetapi PJ City masih gagal menarik penonton ke stadium apabila kurang dari 1,000 orang hadir menyaksikan aksi dengan Sri Pahang.
Dengan jumlah lebih 30,000 penyokong di empat venue dengan purata 7,500 penyokong ianya memberikan kutipan tiket yang baik buat persatuan bola sepak masing-masing dan angka ini jelas menunjukkan liga tempatan masih mendapat dukungan daripada penyokong.