PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM mengesahkan bahawa perlawanan pertama Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia bertemu Republik Kyrgyz pada Khamis, 16 November 2023 akan kekal dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pukul 9.00 malam.
Ketetapan itu dibuat selepas sesi pemeriksaan dan penilaian keadaan terkini padang di stadium berkenaan pada Khamis lalu (2 November 2023) yang turut disertai oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac serta ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.
“Pihak PSM menerusi pandangan dan nasihat daripada pihak konsultan teknikal serta kontraktornya telah menyatakan bahawa padang berkenaan kini dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika Pestabola Merdeka bulan lalu dan sedia untuk digunakan pada 16 November depan.
“Selain itu, keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional ini juga mengambil kira faktor-faktor sampingan lain terutama bagi memudahkan lebih ramai penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan,” jelas Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon dalam kenyataan yang dikeluarkannya turut mahukan aksi menentang Republik Kyrgyz ini kekal berlangsung di Stadium Nasional.
Dengan pengesahan terbaharu ini, segala persiapan menjelang perlawanan tersebut akan terus dipergiatkan bagi memastikan kelancarannya.
Selepas aksi bertemu Republik Kyrgyz itu, skuad Harimau Malaya akan terbang ke Taipei City untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Chinese Taipei pada Selasa, 21 November 2023.
Seterusnya Malaysia akan berdepan Oman di tempat lawan pada 21 Mac 2024 dan di tempat sendiri pada 26 Mac 2024; bertemu Republik Kyrgyz di tempat lawan pada 6 Jun 2024 dan menanti kunjungan Chinese Taipei di laman sendiri pada 11 Jun 2024.