MESKIPUN Malaysia tewas 0-4 kepada Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan E, Piala Asia 2023, namun ada sesuatu yang masih boleh dibanggakan oleh para penyokong Harimau Malaya yang bersama-sama di belakang pasukan di Qatar.

Melalui tinjauan FLASH SUKAN, aksi Malaysia dan Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari lalu mencatat peratusan kehadiran tertinggi jika dibandingkan dengan semua negara Asia Tenggara yang bertanding.

Perlawanan bersejarah selepas 43 tahun Malaysia kembali beraksi di Piala Asia secara merit itu menyaksikan seramai 20,410 penyokong dari kedua-dua pasukan memenuhi stadium yang berkapasiti 44,325 orang itu dengan 46 peratus daripada kapasiti stadium.

Pertembungan klasik Vietnam dan Jepun yang berpihak kepada skuad Samurai Biru di Stadium Al Thumama pula berjaya menarik kehadiran seramai 17,385 orang penyokong ke stadium yang mempunyai 44,400 tempat duduk untuk mencatat 39.2 peratus dari kapasiti.

Satu lagi perlawanan melibatkan skuad Asean, Indonesia yang bertemu Iraq juga mendapat perhatian banyak penyokong di Qatar dengan kehadiran seramai 16,532 penonton ke Stadium Ahmad Bin Ali yang berkapasiti 45,032 tempat duduk untuk mencatat 36.7 peratus kehadiran.

Sementara itu, pasukan tunggal Asean yang memenangi perlawanan pembukaan, Thailand juga mempunyai penyokong yang ramai di Qatar dengan perlawanan menentang Republik Krygyz mencatatkan 45.3 peratus kehadiran di Stadium Abdullah Bin Khalifa yang berkapasiti 10,000 tempat duduk.

Secara keseluruhan untuk 12 aksi pertama Piala Asia 2023, sebanyak 284,451 penyokong telah hadir ke lapan stadium yang menyediakan 449,230 kapasiti untuk peratusan kehadiran sebanyak 63.3 peratus.