SKUAD Harimau Malaya mungkin akan beraksi tanpa sokongan padu daripada penyokong utama apabila ada beberapa sub ultras sudah menjalankan kempen untuk memboikot Kejohanan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung pada September.

Gerakan memboikot ini sudah mula kedengaran pada penghujung Julai lalu apabila banyak penyokong bola sepak tempatan yang tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini termasuk peletakan jawatan bekas ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang dilihat meragukan meskipun kini semua sedia maklum yang pengendali Republik Korea itu menerima tawaran Ulsan HD untuk beraksi di Liga Korea.

Beberapa isu domestik terutama dalam pertandingan Liga Super juga dilihat mencetuskan rasa amarah dan tidak puas hati kepada FAM serta Malaysian Football League (MFL) sekali gus kumpulan ultras ini menggunakan kejohanan Pestabola Merdeka ini sebagai platform terbaik untuk mereka menyalurkan suara.

Beberapa hantaran di media sosial rasmi kumpulan ultras sudah mula dimuat naik sebagai tanda sokongan terhadap usaha boikot dengan #resetbolasepakMalaysia dan ianya kini mendapat perhatian dari penyokong dan peminat-peminat atas pagar.

Ramai yang bersetuju untuk tidak hadir langsung ke Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi apa juga yang memberikan cadangan agar mereka berkumpul di kawasan luar stadium dan duduk membantah sekali gus mengurangkan jumlah jualan tiket pertandingan itu.

Jika benar kesemua ultras sehati sejiwa memboikot, sudah pasti aksi pembukaan Harimau Malaya menentang Filipina pada 4 September nanti akan kedengaran sunyi tanpa kehadiran ultras dan ianya sedikit merencatkan kemeriahan aksi dan mungkin boleh menjejaskan prestasi para pemain di atas padang.

FAM sudah memulakan jualan tiket dengan turut memperkenalkan harga tiket kombo berharga RM70 bagi keempat-empat perlawanan yang meliputi dua perlawanan pada 4 September dan dua lagi perlawanan pada 8 September.

Pestabola Merdeka kali ini ditandingi Malaysia sebagai tuan rumah serta Filipina, Lebanon dan juara edisi 2023, Tajikistan dengan kejohanan ini juga akan membantu skuad kebangsaan memperbaiki ranking dunia menjelang undian peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2027.