24,404 orang penonton dicatatkan ketika aksi sebelah petang antara Johor Darul Ta’zim dan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim menjadikannya angka kehadiran penyokong tertinggi untuk minggu keempat Liga Super.

Seramai 54,241 orang penyokong hadir ke stadium di enam venue berbeza dengan dua aksi sebelah petang lebih mendapat perhatian penyokong berbanding empat lagi perlawanan yang berlangsung pada sebelah malam.

Aksi sebelah petang yang menjadi percubaan Malaysian Football League (MFL) musim ini dilihat semakin mendapat sambutan terutama dari golongan penyokong berkeluarga dan ianya turut mendapat pujian daripada pengendali JDT, Esteban Solari.

ARTIKEL BERKAITAN: “Perlawanan sebelah petang tambah motivasi pemain” – Solari

Satu lagi aksi sebelah petang antara Penang FC dan Selangor FC di Stadium Bandaraya dihadiri lebih 4,000 penyokong yang menjadi saksi pertembungan dramatik sebelum Gergasi Merah muncul pemenang pada minit-minit terakhir.

Meskipun Terengganu FC bergelut untuk menjaringkan gol pertama musim ini, namun aksi bertemu PDRM FC masih dihadiri lebih 9,000 penyokong setia yang akhirnya berjaya sama-sama meraikan kemenangan pertama skuad Peteh.

Aksi panas di Kuantan antara Sri Pahang FC dan Sabah FC yang menyaksikan pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee dilayangkan kad merah dihadiri lebih 10,000 penonton di Stadium Darul Makmur yang sudah sekian lama menyepi.

Sebahagian penyokong Penang FC yang hadir ke Stadium Bandaraya

Kemenangan sulung anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim di Stadium Perak, Ipoh mendapat perhatian hampir 4,000 penyokong namun ianya tidak memuaskan hati Teong Kim yang menyeru lebih ramai lagi penyokong Perak hadir ke stadium memberikan sokongan.

Aksi tunggal pada Isnin menyaksikan Kedah Darul Aman berjaya memenangi perlawanan sengit menewaskan Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad ke-IV disaksikan hampir 2,000 penyokong — angka terendah untuk minggu ini.

Dengan purata 9,040 penyokong, angka ini seharusnya lebih tinggi kerana perlawanan antara Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi terpaksa ditunda kerana hujan lebat.

 

Sementara itu dua aksi Piala FA pusingan pertama pada pertengahan minggu lalu menyaksikan 17,987 penyokong hadir di dua venue yang menyaksikan Sri Pahang dan Penang FC berjaya lolos ke peringkat 16 terbaik kejohanan.

Jumlah kehadiran penyokong untuk Liga Super 2023:

Minggu 1 – 79,066 orang

Minggu 2 – 71,149 orang

Minggu 3 – 57,758 orang

Minggu 4 – 52,241 orang*

*Hanya melibatkan enam dari tujuh venue pertandingan