AKSI pembukaan Liga Super Malaysia 2024-25 yang juga perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC tetap diteruskan mengikut jadual meskipun berlaku insiden menyedihkan yang menimpa pemain Selangor, Faisal Halim.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam ketika ditemui media di ibu pejabat MFL pada Isnin.
Stuart juga mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permintaan dari pasukan Selangor FC untuk menunda perlawanan itu ekoran insiden yang tidak diingini itu.
“Perlawanan masih berjalan buat masa ini dengan aksi Piala Sumbangsih masih kekal berlangsung pada Jumaat. Pihak MFL juga tidak menerima apa-apa permintaan dari pasukan Selangor untuk menunda perlawanan ini ke satu tarikh yang lain.
“Dari sudut operasi, sebarang perlawanan berisiko tinggi akan kami tingkatkan tahap keselamatan tetapi insiden yang berlaku ini berlaku di luar kawalan MFL dan kami percaya keselamatan para penyokong juga akan terjamin,” katanya.
MFL juga memberi jaminan bahawa keselamatan para penyokong adalah keutamaan ketika hari perlawanan dan Stuart percaya dengan langkah-langkah keselamatan yang akan dilakukan oleh setiap pasukan di setiap venue.
“Pihak MFL juga percaya dengan langkah keselamatan yang diambil oleh semua kelab bagi memastikan semua petugas keselamatan menjalankan tugas dan sudah tentu insiden ini akan meningkatkan lagi tahap keselamatan di semua stadium,” jelasnya.