ESOK seluruh tumpuan peminat bola sepak tempatan pastinya terarah ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu apabila perlawanan yang boleh dianggap pra final Piala FA mengambil tempat di stadium itu.
Terengganu FC bakal berdepan cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kedua-dua pasukan berada pada tahap prestasi terbaik selepas berjaya layak ke perlawanan akhir Piala FA.
Bagaimanapun skuad kendalian Nafuzi Zain berdepan kesukaran apabila kehilangan beberapa tonggak utama seperti Faisal Halim dan Tchetche Kipre akibat tahap kecergasan yang kurang baik serta keadaan Petrus Shitembi dan Habib Haroon yang masih belum dapat dipastikan kecergasan mereka.
Namun Skuad Peteh boleh menarik nafas lega apabila Kpah Sherman kembali menjalani latihan bersama pasukan dan bersedia untuk diturunkan malam esok (Rabu).
Di kem JDT pula, tiada masalah yang dilaporkan dengan kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik dan pastinya mahu mencuri tiga mata di laman lawan sekaligus mengekalkan rekod 43 perlawanan tanpa kalah di tempat lawan.
Dengan rekod pertemuan yang menyebelahi JDT, Terengganu FC pastinya mempunyai ramuan istimewa untuk memerangkap Harimau Selatan di halaman sendiri dengan JDT bersedia melebarkan jurang di takhta liga jika berjaya memenangi perlawanan malam esok.
Gandingan Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri serta Arif Aiman yang segar dengan jaringan hatrik sebelum ini pastinya menjadi senjata rahsia buat JDT untuk merobek gawang Terengganu FC.
Penguasaan bahagian tengah juga bakal menjadi kunci pertemuan ini dengan JDT dilihat mempunyai kekuatan di bahagian ini namun jangan menidakkan keupayaan barisan tengah Terengganu FC.
Pastinya satu aksi yang menarik dijangka berlangsung dihadapan ribuan penyokong yang dijangka membanjiri stadium sekali lagi bagi menyaksikan pra final Piala FA ini.
Di dalam kedudukan carta Liga Super, Terengganu FC kini di tangga kelima dengan 17 mata manakala JDT kekal di takhta liga dengan 35 mata.