DALAM menghadapi musim baru 2024/2025, Terengganu FC (TFC) telah menyusun beberapa siri perlawanan persahabatan.
Pengarah Sukan Terengganu Football Club Sdn Bhd, Zulfadli Rozi berkata, selepas mempertimbangkan faktor kos dan kesediaan pasukan lawan, Terengganu memutuskan untuk mengadakan persediaan pramusim yang hanya melibatkan perlawanan dalam negara.
“Sebagai permulaan, pasukan Terengganu FC akan mengadakan tiga siri perlawanan pramusim di Lembah Klang bermula 31 Mac sehingga 4 April 2024.
“Kelab ini juga akan menganjurkan perlawanan jemputan empat penjuru yang akan melibatkan pasukan Terengganu FC, Terengganu FC II, Kedah Darul Aman FC dan Penang FC di Kuala Terengganu bermula 17 April sehingga 21 April 2024,” katanya dalam kenyataan kelab.
Seperti semua sedia maklum, penggunaan sistem teknologi video bantuan pengadil (VAR) akan diperkenalkan pada musim ini oleh penganjur liga.
Terengganu sendiri akan mengambil bahagian dalam dua siri perlawanan persahabatan untuk menguji sistem VAR ini.
Perlawanan-perlawanan tersebut dijadualkan pada 28 April 2024 dan 3 Mei 2024. Selain menjadi ujian untuk sistem VAR, perlawanan ini juga dilihat sebagai persiapan terakhir pasukan menjelang saingan Liga Malaysia yang bakal bermula.