SEBANYAK 16 pasukan bakal beradu meneruskan cabaran dalam Pusingan Kedua Piala FA Malaysia selepas berjaya membenam lawan masing-masing di Pusingan Pertama, Mac lalu.
Sabah FC bakal memulakan aksi pada Jumaat bertemu Kelantan United di Stadium Likas dan skuad The Rhinos dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk layak ke suku akhir berdasarkan barisan pemain yang mereka miliki.
Kelantan United pula pastinya ingin melakukan kejutan namun pengalaman yang ada dalam skuad Sabah dilihat akan menjadi faktor utama yang memisahkan kedua pasukan.
Selepas mencatat rekod kelab dengan kemenangan 10-0 ke atas BRM FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan beraksi menentang Sarawak United di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Kemenangan 6-0 pada pertemuan Liga Super pastinya menjadi indikator betapa JDT adalah pilihan untuk layak tetapi Sarawak United pastinya mahu mencari peluang mengejutkan juara edisi 2016 ini sekaligus layak ke suku akhir.
Sri Pahang FC pula dijangka tidak akan berdepan masalah apabila bertemu Skuad Projek FAM-MSN atas faktor kelebihan beraksi di tempat sendiri. Skuad muda negara pula harus menggunakan perlawanan ini sebagai platform terbaik buat mereka menimba pengalaman.
Pertemuan menarik dijangka berlaku di Stadium Hang Jebat juga pada Sabtu apabila Melaka United dilihat mempunyai kelebihan untuk menyingkirkan PJ City namun perlu berhati-hati dengan kejutan dari skuad P. Maniam yang dibarisi semua pemain tempatan.
Stadium Perak di Ipoh bakal menyaksikan Perak FC dan Penang FC bertarung dengan misi yang berbeza. Perak FC mahu meneruskan rentak kemenangan manakala Penang FC akan menggunakan kempen ini sebagai ‘turning point’ dan dijangka akan layak ke peringkat suku akhir
Satu-satunya kelab dari Liga M3 yang masih bersaing, Perlis United akan berhadapan Kuching City FC di Stadium Utama Kangar dengan misi mahu membuktikan keupayaan mereka meskipun sedar ianya bukan tugas mudah untuk menghalang Kuching City dari layak menjadi lapan pasukan terbaik musim ini.
Dua lagi perlawanan telah dijadualkan semula iaitu pertemuan derbi Lembah Klang antara Selangor dan Kuala Lumpur serta pertembungan hebat di antara Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC.
Semua pemenang Pusingan Kedua ini akan layak ke suku akhir yang dijadualkan pada 7 dan 8 Julai dengan undian akan dibuat bagi menentukan lawan masing-masing.