PERLAWANAN minggu ke-11 Liga Super membabitkan pasukan Selangor FC menentang Terengganu FC telah ditangguhkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke satu tarikh baharu.

Perlawanan yang melibatkan dua pasukan itu yang sepatutnya diadakan pada 21 September ini ditangguhkan kepada 28 September ini.

Perubahan tarikh perlawanan ini telah dinyatakan menerusi media sosial Selangor FC semalam.

“Perlawanan LS11 Terengganu FC melawan Selangor FC yang dijadualkan pada 21 September 2024 telah ditunda kepada 28 September 2024 atas persetujuan bersama dengan pihak Terengganu FC dan Malaysian Football League (MFL).

“Seperti makluman semua, Selangor FC akan mewakili negara dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di mana perlawanan pertama akan berlangsung pada 19 September 2024 menentang kelab dari Thailand, Muangthong United FC.

“Pihak Selangor FC telah memohon untuk penangguhan perlawanan LS11 menentang Terengganu FC kerana tidak mempunyai hari rehat selepas perlawanan apabila perlu bermain dengan Muangthong United FC di Bangkok pada 19hb September, melalui perjalanan Bangkok – KLIA – Kuala Terengganu pada 20 September dan seterusnya menentang Terengganu FC pada 21 September,” jelas kelab itu dalam satu kenyataan.

Selangor FC bakal bertemu Kuching City dalam perlawanan Liga Super malam ini sebelum bergerak ke Bangkok bagi memulakan saingan AFC Champions League 2 menentang Muangthong United.