JIKA empat aksi suku akhir Piala FA tempoh hari mencatat jumlah lebih 3.7 juta tontonan, aksi separuh akhir juga mencatat angka yang cukup memberangsangkan baik menerusi siaran langsung di internet, televisyen mahupun di stadium sendiri.
Dua perlawanan separuh akhir Piala FA yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu itu berjaya menarik 3.4 juta tontonan menerusi siaran langsung di platform YouTube Unifi dan angka ini tidak termasuk jumlah tontonan di platform unifi TV dan juga Sukan RTM.
Tambah menarik, hampir 70,000 penyokong hadir ke stadium yang menyaksikan kedua-dua venue penuh sesak dengan sorakan padu dari penyokong keempat-empat pasukan yang bertanding.
Sebanyak 1.6 juta penonton menyaksikan aksi siaran langsung Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Penang FC 6-1 dengan Arif Aiman mencatat sejarah menjadi penjaring hatrik termuda buat JDT pada usia 20 tahun ditambah 34,213 orang yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim.
Sementara itu, aksi satu lagi separuh akhir antara Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC (SFC) mendapat 1.8 juta tontonan di platform YouTube unifi dengan 33,332 penonton membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menyaksikan Terengganu FC layak ke final.
Tambah menarik, keghairahan peminat bola sepak tempatan terhadap dua aksi separuh akhir ini berjaya menenggelamkan aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan tumpuan lebih terarah kepada pasukan manakah yang bakal layak ke perlawanan akhir.
Angka-angka ini juga sangat bagus untuk nilai komersil liga dan ianya akan membantu kewangan para pasukan dengan jualan tiket dan barangan cenderahati kelab yang laku bagaikan pisang goreng panas pada hari perlawanan.