EMPAT perlawanan suku akhir Piala FA yang berlangsung pada Sabtu berjaya menarik jutaan tontonan menerusi siaran langsung di platform YouTube unifi dan puluhan ribu yang hadir ke stadium.
Sebanyak 3.754 juta tontonan dicatat menerusi siaran langsung di YouTube dan angka ini tidak termasuk angka tontonan siaran langsung di TV Okey dan juga platform unifi TV.
Manakala 1.4 juta penonton menjadi saksi gol minit akhir Bergson Da Silva yang membawa JDT ke peringkat separuh akhir selepas mengatasi Melaka United 2-1 ditambah lebih 18,000 penyokong yang hadir di Stadium Hang Jebat.
Rentak cemerlang Selangor FC menghantar pulang Sabah FC di pula mendapat 1 juta tontonan di internet manakala hampir 19,500 penyokong yang berhujanan di Stadium Likas.
Pertemuan tok guru dan anak murid antara Kuching City dan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dihadiri 20,500 penyokong dan ditonton kira-kira 715,000 di internet yang menyaksikan Terengganu layak ke separuh akhir dengan kemenangan 4-1.
Aksi dua pasukan tercorot liga antara Sri Pahang dan Penang FC gagal menarik minat penyokong ke stadium apabila hanya dihadiri 2199 orang penyokong manakala jumlah tontonan di internet mencecah angka hampir 640,000.
Dengan purata kira-kira 938,500 tontonan magis Piala FA masih mendapat tempat di kalangan peminat bola sepak tempatan. Pastinya dua pertemuan separuh akhir nanti akan memberikan angka yang lebih besar kerana melibatkan empat pasukan yang mempunyai penyokong yang ramai.