PASANGAN harapan emas negara di Sukan Olimpik Paris, Aaron Chia-Soh Wooi Yik nekad untuk menukar warna pingat yang dimenangi di Temasya Tokyo 2020, biarpun terpaksa akur sebagai naib juara kumpulan A.

Ini berikutan kekalahan yang diterima mereka pada perlawanan terakhir kumpulan, di tangan gandingan nombor 1 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang 22-24, 14-21.

Perlawanan terakhir kumpulan A menentang Liang Wei Keng-Wang Chang dijadikan latihan menjelang aksi suku akhir beregu lelaki. |FOTO MOM

“Kami berharap kali ini mendapat warna pingat yang berbeza, tetapi kami tidak mahu terburu-buru dan akan melakukannya step by step,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus selepas tamat perlawanan.

Mengulas mengenai kekalahan ketujuh kepada Wei Keng-Wang Chang itu, Aaron berkata tiada tekanan untuk mereka berdua, berikutan menjadikan perlawanan itu sebagai medan ujian untuk aksi di suku akhir.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mendapat input berguna untuk diperbaiki di suku akhir.|FOTO MOM

“Pada perlawanan ini, kami enjou, tiada tekanan kerana awal-awal lagi kami fokus jadikan perlawanan ini sebagai ujian dan latihan kerana kami perlu hadapi beberapa perlawanan lagi,” tambah Aaron.

Kemenangan diperoleh pasangna nombor 1 dunia itu menyaksikan mereka kini sudah berada dalam undian suku akhir, sementara pasangan lain perlu menunggu sehingga saingan kumpulan beregu lelaki berakhir, esok.

Pada Temasya Tokyo, Aaron-Wooi Yik memenangi pingat gangsa selepas menewaskan pasangan Indonesia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan pada perlawanan penentuan tempat ketiga.