KEKALAHAN 0-2 kepada Terengganu FC disifatkan sebagai aksi terburuk Sabah FC sepanjang kempen Liga Super musim ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata, Sabah FC gagal mempengaruhi permainan setelah segalanya serba tidak menjadi buat skuad Sang Badak.
“Kami tewas kepada pasukan yang lebih baik, malah Sabah FC langsung tidak layak untuk meraih keputusan seri sekalipun. Jadi kredit kepada Terengganu.
“Pemain saya juga mengulangi kesilapan sama bolos pada awal permainan menyebabkan kami terpaksa menukar corak namun gagal membuahkan hasil.
“Jentera tengah dikuasai lawan sehingga kami tidak dapat menembusi pertahanan Terengganu seterusnya menambah keyakinan tuan rumah,” jelasnya.
Namun bekas jurulatih kebangsaan itu optimis Sabah FC mampu mengekalkan tempat kedua jika kembali ke landasan kemenangan dalam tiga aksi terakhir liga.
Kim Swee berkata, aksi berikutnya dengan Penang FC perlu dijadikan peluang untuk menamatkan kemarau kemenangan sejak empat perlawanan lalu.