PENENTUAN gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2021/22 boleh dikatakan akan ditentukan pada malam ini apabila dua pasukan teratas, Manchester City dan Liverpool bertembung di Etihad.

Selepas bertarung 30 perlawanan sejak tahun lepas, kedua-dua kelab pujaan ramai seluruh dunia itu kini hanya dibezakan satu mata, City mengumpul 73 mata.

Liverpool yang dipimpin Jurgen Klopp hadir dengan barisan terkuat termasuk menyenaraikan Mohamed Salah, Sadio Mane, Luis Diaz, Diogo Jota dan Roberto Firmino di bahagian serangan.

Bagi pihak Manchester City yang nampak solid setiap posisi, beraksi di laman sendiri menjadikan faktor tambahan apatah lagi menerima sokongan padu peminat setia di Etihad.

Bak kata jurulatihnya, Pep Guardiola kejuaraan semakin hampir dalam genggaman jika pemain konsisten meneruskan rentak cemerlang dalam perlawanan akan datang.

“Berada di tangan kami (perebutan gelaran EPL), tetapi kami harus bermain seperti kami mainkan,” kata Guardiola dalam laman rasmi kelab baru-baru ini.

Sebaik sahaja tamat 90 minit permainan malam ini, tinggal berbaki tujuh lagi saingan sebelum peminat mencongak siapakah bakal muncul raja EPL edisi 2021/22.

Liverpool selepas ini akan menanti kehadiran Benfica bagi perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis ini.

Manakala, The Citizens selepas itu akan berkunjung ke Stadium Wanda Metropolitano bagi berdepan angkatan Diego Simeone, juga dalam perlawanan Liga Juara-Juara.