AKSI yo-yo pasukan Kuala Lumpur City FC nyata mendatangkan resah kepada para penyokong setia yang sentiasa menjadi tulang belakang juara Piala Malaysia 2021 ini.

Tinjauan FLASH SUKAN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras ketika KL City berjaya mengutip tiga mata selepas membenam cabaran Penang FC, nyata para penyokong masih belum berpuas hati dan merasakan ada beberapa perubahan perlu dilakukan.

Seorang penyokong KL City, Khairul Nizam Arifin berpendapat barisan pertahanan KL City perlu diperkemaskan terutama apabila sering memberikan sepakan penalti kepada pihak lawan.

Namun begitu dia tidak risau tentang bahagian serangan kerana kebanyakan pemain KL City mampu menjaringkan gol dan tidak bergantung kepada seorang individu sahaja.

Nizam yang dikenali ramai penyokong tempatan turut berpendapat bahawa penyokong KL City perlu lebih realistik dengan sasaran yang diberikan kepada kelab kesayangan mereka ini.

Aksi KL City bertemu Penang FC pada Selasa malam.

“Mengikut statistik, KL City antara pasukan paling banyak memberikan penalti kepada pihak lawan. Dari 10 perlawanan, kita sudah memberikan lima penalti dan ianya menjadi punca tekanan yang menjurus kepada kekalahan.

“Oleh itu barisan kejurulatihan perlu memberikan tumpuan kepada barisan pertahanan dan berharap ianya dapat diperkemaskan bagi menghadapi baki liga kerana perbezaan gol akan menjadi penentuan pada akhir saingan,” tambahnya.

“14 gol berjaya dijaringkan oleh KL City dan saya rasakan pasukan ini tidak mempunyai masalah untuk menjaringkan gol kerana ramai pemain mampu melakukannya. Namun KL perlu mempunyai seorang ‘classic number nine’ sekiranya mahu bersaing lebih baik dalam liga.

“Saya menganggap kejayaan menjuarai Piala Malaysia edisi ke-100 tahun lalu adalah bonus tetapi saya tetap realistik dengan tahap pasukan KL City dan saya juga berharap agar para penyokong tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi bagi mengelakkan tekanan yang tidak perlu buat pasukan,” jelasnya kepada Flash Sukan.

Kemenangan ke atas Penang FC nyata memberikan kelegaan kepada para penyokong dan berharap momentum ini dapat diteruskan pada aksi berikutnya di Kuching menentang Sarawak United minggu hadapan.

“Diharapkan KL City mampu mengekalkan momentum kemenangan ini pada aksi di Kuching tetapi saya masih bimbang kerana rekod KL City di tempat lawan sering kali kurang baik,” kata Nizam yang turut akan terbang ke Kuching untuk memberikan sokongan.