SEBALIK peningkatan mendadak ranking dunia, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merumuskan mereka menempuh prestasi ‘roller coaster’ sepanjang musim 2023.
Tang Jie-Ee Wei tersingkir pada peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China mengakui masih mempunyai misi yang belum diselesaikan.
“Tahun yang sukar untuk kami tetapi ada yang juga. Prestasi kami ada turun naik sehingga hari ini. Misi kami belum lagi selesai dan akan terus kekal fokus dan merendah diri,” kata Ee Wei.
Semalam, beregu di ranking kelapan dunia itu tersingkir dari saingan Jelajah Dunia Akhir BWF apabila tewas di tangan beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-18, 18-21, 14-21 pada aksi terakhir Kumpulan A.
Keputusan itu menyaksikan mereka yang membuat penampilan sulung di kejohanan berkenaan berada di kedudukan tercorot kumpulan selepas tiga perlawanan dengan satu mata.
Untuk rekod, panjang 2023, Tang Jie-Ee Wei meraih tiga gelaran iaitu di Cabaran Antabangsa Iran pada Januari, Masters Orleans di Perancis (April) dan Terbuka Taiwan (Jun).
Selain itu, Tang Jie-Ee Wei turut melangkah ke separuh akhir Terbuka Singapura yang berstatus Super 750, Terbuka China (Super 1,000), Terbuka Arctic (Super 500) dan Masters Korea (Jelajah Dunia Super 300).