RATU boling padang negara, Aleena Ahmad Nawawi dan Nur Ain Nabilah optimis untuk mengekalkan kejuaraan dalam Boling Padang Asia yang akan berlangsung di Pattaya, Thailand, Mac depan.

Gandingan yang berjaya meraih gelaran Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Majlis Anugerah Sukan (MAS) pada Selasa telah berjaya mencipta kemenangan dalam Boling Padang Asia tahun lalu.

Menurut Aleena, dirinya kini sedang dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi prestasi serta memberi fokus lebih baik kepada beberapa kejohanan yang akan ditempuhi.

Aleena dan Ain ketika ditemui di Majlis Anugerah Sukan UiTM, di UiTM Shah Alam.

“Kami akan fokus kepada Kejohanan Boling Padang Asia ke-15 di Pattaya, Thailand dan akan mempertahankan kejuaraan keseluruhan. Kami juga akan lakukan yang terbaik di Terbuka Australia sekiranya kami terpilih ke kejohanan itu,” katanya.

Sementara itu, gandingannya, Ain Nabilah turut menyatakan bahawa antara faktor kekuatan dirinya adalah daripada latihan terbuka bersama pasukan lelaki, dimana memberi salah satu impak serta kelebihan buat dia dan Aleena untuk mempamerkan corak permainan yang lebih cemerlang ketika dalam perlawanan sebenar.

“Berlatih dan sertai kejohanan terbuka (campuran) di Malaysia ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan prestasi kami bagi berhadapan dengan lawan. Kami cuba beri yang terbaik kerana kami sudah melalui satu latihan yang agak kompetitif dengan pasukan lelaki.

“Sementara itu, ini merupakan kali ketiga berturut-turut untuk saya memenangi (Olahragawati) UiTM, iaitu pada 2019, 2022 dan 2023.

Aleena menyarung blazer yang diberi oleh UiTM sebagai tanda penghargaan atas jasanya.

“Jadi saya ucapkan terima kasih kepada UiTM untuk penganugerahan ini, saya berasa lega dan kenangan ini cukup manis sebab pertama kali anugerah olahragawati untuk dua orang sekali, lagi-lagi dengan pasangan saya (Aleena),” ujar Ain Nabilah.

Terdahulu, FLASH SUKAN juga ada melaporkan bahawa UiTM telah melakar sejarah dalam menobatkan dua atlet Olahragawati UiTM selain seorang Olahragawan dalam Majlis Anugerah Sukan yang berlangsung pada malam Selasa.

Kejayaan Aleena dan Ain Nabilah dalam merampas pingat emas di Kejohanan Dunia Gold Coast, Australia pada tahun lalu telah menamatkan kemarau 15 tahun Malaysia dalam acara boling padang.