ATLET boling padang negara, Aleena Ahmad Nawawi yang menamatkan kemarau 15 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas di Kejohanan Boling Padang Piala Dunia, Gold Coast September lalu berazam untuk memburu pingat emas kedua dalam kejohanan yang bakal dihadapinya Disember depan.
Kejohanan Boling Padang IIBC Piala Dunia Remaja 2023 yang bakal disertai oleh Aleena akan menyaksikan dirinya beraksi dalam kategori individu perempuan dan beregu campuran bersama atlet lelaki kebangsaan, Idham Amin Ramlan.
Seterusnya, Aleena yang akan berdepan dengan musuh utama iaitu pemain Malta yang turut bermain di pentas akhir Kejohanan Piala Dunia lalu tetap bersemangat untuk memberikan yang terbaik dan mengharumkan semula nama Malaysia.
“Walaupun saya rasa negara lain juga akan bagi saingan yang kuat kerana majoriti mereka sudah biasa berlatih di padang seperti di Scotland, namun saya tidak akan menjadikan ianya sebagai satu alasan untuk saya tidak beraksi dengan baik.
“Saya akan mengaplikasikan segala ilmu dan tunjuk ajar mereka selama ini untuk saya gunakan dalam kejohanan tersebut. Lebih-lebih lagi tentang cara mengatasi mental breakdown dan mengatur emosi ketika dalam perlawanan.
“Saya tidak mengharap lebih, tetapi impian saya untuk masuk ke separuh akhir kejohanan untuk dapatkan pingat dahulu. Jika akhirnya saya berjaya dapat pingat emas, itu adalah bonus,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Untuk maklumat, Kejohanan Boling Padang IIBC Piala Dunia Remaja 2023 akan melabuhkan tirainya pada 1 Disember dan berakhir pada 10 Disember 2023 sejurus membawakan dua atlet kebangsaan yang bakal membawa misi untuk meletakkan nama Malaysia di persada dunia.