RATU boling padang negara, Aleena Ahmad Nawawi berkongsi cara dirinya mengekalkan momentum terbaik sementara menikmati tempoh rehat untuk menunggu perlawanan seterusnya.
Aleena yang pernah memenangi pingat emas dalam Kejohanan Dunia Gold Coast, Australia musim lalu, sering melayari aplikasi Youtube bagi mempelajari teknik dan kepakaran daripada atlet luar negara sejurus berlatih dengan sendirinya di rumah.
Menurut Aleena, dengan menonton siaran langsung perlawanan boling padang yang melibatkan atlet kegemaran luar negara itu, ianya dapat membantu Aleena untuk mengingati setiap teknik yang pernah dilakukan semasa pertandingan.
Tambahnya, dengan cara itu juga, dia dapat mempelajari pelbagai cara balingan serta taktikal yang sering digunakan oleh beberapa atlet luar negara itu.
“Apa yang saya lakukan, adalah supaya saya dapat ingat semula teknik yang pernah lakukan dan cuba menggunakan kemahiran imaginasi sementara tiada latihan ketika ini.
“Saya tonton pertandingan dari negara luar kerana mereka selalu buat siaran langsung di YouTube setiap kali ada kejohanan, dan itu sedikit sebanyak membantu diri saya.
“Saya banyak tengok perlawanan yang selalu ada pemain seperti Alex Marshall dari Scotland dan Aaron Teys dari Australia. Saya suka mereka sebab mereka sangat konsisten biarpun sudah berumur tetapi prestasi di dalam padang tetap tidak lari,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu, Aleena turut memaklumkan bahawa kejohanan terdekat yang akan disertai adalah Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) Fasa 2 yang akan bermula pada 6 Mei nanti.
Oleh itu, Aleena mahu dirinya berada dalam keadaan yang cergas dan mempunyai momentum stabil agar dapat membuktikan yang terbaik pada Masum, sekali gus menjulang nama Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Untuk rekod, Masum 2024 adalah kejohanan yang kedua buat Aleena setelah kali terakhir dirinya beraksi pada tahun 2017 dan berjaya mendapatkan pingat gangsa.