ATLET boling padang negara, Aleena Ahmad Nawawi memasang impian untuk Malaysia kekal dominasi acara boling padang dalam Kejohanan Boling Padang Asia di Pattaya, Thailand pada Mac depan.
Aleena yang berusia 25 tahun merupakan pemenang pingat emas di kejohanan berprestij iaitu Kejohanan Boling Padang Piala Dunia, Gold Coast pada September lepas.
Menurut Aleena, terdapat 14 para atlet yang bakal membawa nama Malaysia di Thailand, antaranya adalah tujuh lelaki dan tujuh perempuan.
“Bagi saya, sasaran kali ini kami masih ingin menjadi juara keseluruhan dalam Kejohanan Asia Bowl kerana edisi sesebelum ini, Malaysia merupakan juara bertahan.
“Jika mengulas mengenai saingan utama, saya dapat rasakan mungkin peserta dari India dan Filipina yang menjadi pencabar di sana kerana tahun lalu, wakil India juga yang beri saingan padu terhadap kami.
“Tapi InsyaAllah dengan kekuatan yang kami ada, tujuh lelaki tujuh perempuan di sana, harap dapat beri saingan yang baik,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Pada perlawanan yang lalu, Aleena gagal untuk mendapatkan pingat emas dalam Kejohanan Boling Padang IIBC Piala Dunia Remaja, Scotland sejurus hanya membawa pulang pingat gangsa ke tanah air.
Boleh dilihat, gagal dalam merealisasikan matlamat untuk mendapat gelaran juara pada saingan lalu jelas tidak memudarkan semangat dan harapan gadis muda ini untuk terus cuba sedaya upaya beri yang terbaik buat Malaysia.