ATLET boling padang Aleena Ahmad Nawawi negara membawa pulang pingat gangsa selepas menamatkan saingan di tempat ketiga dalam saingan beregu campuran pada Kejohanan Boling Padang IIBC Piala Dunia Remaja Scotland 2023.

Gadis yang juga seorang pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu juga meluahkan rasa bangga dan bersyukur terhadap kejayaannya dalam kategori beregu campuran di pentas antarabangsa tersebut.

Menurut Aleena, walaupun dirinya gagal membawa pulang pingat peribadi dalam kategori perseorangan wanita, namun dia tetap gembira kerana tidak hanya kembali dengan tangan kosong.

“Kejohanan IIBC ini merupakan satu pengalaman dan kejayaan yang baharu buat saya dan perlawanan selama 10 hari itu sangat-sangat mencabar, tetapi banyak ilmu baru yang saya perolehi.

“Walaupun pentas itu disertai oleh pemain-pemain Bawah-25 sahaja, namun cara permainan mereka dan tentangan yang saya jumpa waktu itu boleh dikatakan setaraf dengan pemain senior.

“Untuk kategori perseorangan wanita, saya gagal melepasi peringkat kumpulkan kerana saya berada di tangga ketiga, walhal hanya top 2 sahaja yang layak ke saingan seterusnya.

“Jadi musuh sebenar saya ketika itu adalah pemenang perseorangan wanita iaitu dari Ireland, kerana saya satu kumpulan dengannya dan kalah dengannya juga,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Bagi Aleena, perasaan sedih dan duka akan kekalahan tersebut agak terubat apabila dia dan gandingannya berjaya menambat pingat pada hari ketujuh perlawanan.

Sasaran peribadi seterusnya untuk atlet boling padang negara ini adalah pada Kejohanan Asian Bowl 2024 di Thailand dan berazam untuk mengumpul pingat pertama pada tahun baru jika diberi peluang untuk menyertai aksi tersebut.