PEMAIN tengah Bahrain, Ali Abdulla Hassan Haram menegaskan perlawanan menentang Malaysia adalah sesuatu yang sukar.

Lebih sukar, apabila terpaksa bermain dalam keadaan yang kurang memuaskan selepas hujan turun sebelum aksi perlawanan.

“Kita bermain 90 minit, saya sentiasa percaya kita perlu memberikan yang terbaik. Ia cara kita bermain dan kita akan fokus untuk kembali kepada sasaran untuk memenangi perlawanan terakhir.

“Padang agak mengecewakan namun kita harus positif dan sentiasa memberikan yang terbaik,” jelasnya selepas perlawanan.

Sementara itu, dia menegaskan pasukan Bahrain masih perlu memberi fokus kepada perlawanan terakhir menentang Turkmenistan pada 14 Jun ini.

Meskipun telah selesa dengan 6 mata, perancang tengah itu mengakui mereka sudah lama tidak bermain sebaik perlawanan malam ini.

“Misi belum selesai, kita mahukan 9 mata dalam keseluruhan perlawanan dan tiga mata dalam perlawanan terakhir.

“Kita akan bekerja keras dan melengkapkan cabaran terakhir sebagai juara kumpulan,” tambah Ali.

Pasukan Bahrain akan melengkapkan perlawanan ketiga Pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan manakala Malaysia akan melengkapkan perlawanan terakhir Kumpulan E bertemu Bangladesh yang kesemuanya berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Jun ini.