RATU trek Jerman, Alica Schmidt yang dilabel sebagai atlet ‘paling seksi dunia’ akan berada di Kuala Lumpur tahun hadapan.

Pelari pecut 400 meter (m) dan 4x400m Jerman itu, dijangka menjalani latihan bersama skuad olahraga kebangsaan pada April tahun hadapan, hasil kerjasama antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Olahraga Jerman (GAA).

Alica Schmidt dilabel pelari ‘paling seksi’ dunia.

Pengerusi GAA, Idriss Gonschinska berkata, pakar 400 meter (m) itu sah akan bersama skuad olahraga Jerman menjalani latihan selama empat minggu di Stadium Merdeka sebagai persediaan ke Kejohanan Olahraga Berganti-Ganti Dunia di Guangzhou, China Mei tahun depan.

Menurutnya, Malaysia menjadi pilihan skuad Jerman untuk melakukan persiapan kerana faktor cuaca selain memiliki sejarah kerjasama latihan sebelum ini selain tertarik dengan bakat dimiliki atlet-atlet kebangsaan.

Pengerusi GAA, Idriss Gonschinska gembira dapat menjalin kerjasama dengan KOM.

“Kami berada dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan Olahraga Berganti-Ganti Dunia dan juga Kejohanan Olahraga Dunia (September 2025). Oleh itu, kami akan bawa skuad Jerman buat kali pertama ke sini.

“Alica Schmidt pun akan datang ke sini, dan sudah tentu akan ‘bawa’ pengikutnya bersama. Selain itu, Gina Lueckenkemper yang juga salah seorang pelari pecut terbaik kami, akan berada dalam skuad yang melakukan persiapan ke Guangzhou,” katanya, ketika ditemui di sebuah hotel di ibu negara.

Kuartet 4x400m wanita Jerman.

Untuk rekod, Gonschinska pernah melatih legenda 400m lari berpagar negara, Noraseela Khalid, berharap kedua-dua pihak mampu memanfaatkan sepenuhnya kerjasama bersejarah ini.

Gonschinska menepis dakwaan yang mengatakan sukan olahraga Malaysia terlalu jauh jika dibandingkan dengan pasukan Eropah, sebaliknya menganggap atlet Asia Tenggara memiliki kelebihan tersendiri.

“Saya tidak fikir begitu (Jerman jauh lebih hebat) kerana Malaysia pernah ada atlet-atlet seperti Noraseela. Bagi saya, ini adalah situasi menang-menang kerana kami memang cari peluang untuk buat kerjasama antarabangsa,” ujarnya.