TUAH menyebelahi pasukan Selangor FC apabila Aliff Haiqal Lokman Hakim berjaya menjadi wira pasukan, sekali gus memecahkan tembok pertahanan Kedah Darul Aman FC pada minit akhir perlawanan.

Aliff Haiqal yang menyarung jersi 77 boleh dianggap sebagai tuah baru selepas dimasukkan pada minit ke-81 untuk menggantikan Mukhairi Ajmal , sekali gus dapat menjaringkan gol tunggal pada aksi pertama Liga Super buat The Red Giants.

Perlawanan malam ini dihiasi dengan tribute buat penyerang pasukan Selangor, Faisal Halim yang ditimpa musibah akibat disimbah asid minggu lepas. Penyokong kedua-dua pasukan turut menunjukkan solidariti mereka apabila bangun dan bertepuk tangan pada minit ke-7.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling membuat percubaan terhadap gawang gol pihak lawan mereka. Sony Norde melakukan percubaan pertama perlawanan pada minit ke-10 apabila beliau melakukan percubaan dari luar kotak penalti.

Bahagian pertahanan Kedah Darul Aman FC tidak dapat mengekang serangan daripada trio pasukan Merah Kuning iaitu Yohandry Orozco, Ronnie Fernandes dan Alvin Fortes dan mereka perlu bersyukur bahawa percubaan daripada trio itu tidak mendatangkan gol.

Percubaan paling bahaya daripada pasukan Selangor datang pada minit ke-33 apabila tandukan oleh Ronnie Fernandes tersasar ke tepi tiang gol.

Babak kedua memperlihatkan pasukan Selangor FC menambahkan serangan mereka dalam usaha mereka untuk mencari gol.

Alvin Fortes yang cemerlang mendahului serangan Red Giants hampir menjarinkan gol pembukaan apabila percubaan chip dari luar kotak penalti hampir melemaskan penjaga gol Kedah, Kalamuallah Al-Hafiz pada minit ke-53.

Percubaan chip daripada Syafiq Ahmad di tepi gol hampir mengejutkan pasukan Selangor pada minit ke-71 namun bola melatun di depan pintu gol.

Aliff Haiqal menjadi hero buat pasukan Merah Kuning apabila beliau menjaringkan gol half volley dari luar kotak penalti pada minit ke-81 sekaligus memberikan Selangor kemenangan pertama untuk musim ini.

Perlawanan ini menyaksikan debut buat pemain inport muda Selangor, Reziq Bani Hani yang menampilkan permainan yang mantap dalam tempoh 20 minit terakhir dengan melakukan beberapa hantaran lintang yang berbahaya.