KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil berasa gembira dengan persembahan anak buahnya ketika perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC semalam.
Beliau mengatakan bahawa persembahan pasukan pada separuh masa pertama dan kedua mempunyai perbezaan dan beliau bangga dengan reaksi yang ditunjukkan oleh pemainnya.
“Secara taktikalnya, kita cuba minta bahagian tengah kita untuk berada di atas pada babak kedua kerana kita terlampau banyak pemain yang berada dibawah pada separuh masa pertama.
“Apabila kita terlalu ramai berada dibawah, kita tidak boleh membawa bola ke bahagian hadapan kerana kita asyik bermain di bahagian belakang.
“Saya berasa gembira dengan pemain saya kerana menunjukkan reaksi yang positif pada babak kedua dan kita mampu bermain secara permainan berpasukan yang kolektif,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
“Aliff Haiqal merupakan seorang pemain yang sentiasa sampai ke dalam kotak penalti tepat pada waktu. Kita tidak mempunyai banyak pemain yang seperti itu dan Aliff berikan itu kepada pasukan,” tambahnya lagi.
Nidzam Jamil turut memuji permainan yang ditonjol oleh pemain Jordan yang berusia 22 tahun, Reziq Bani Hani yang melakukan debut dalam Liga Super Malaysia semalam.
“Reziq masih lagi muda, baru berusia 22 tahun. Bagi saya, dia merupakan pemain yang akan menjadi watak utama untuk Jordan pada masa akan datang.
“Saya suka dengan tempo permainan yang diberikan olehnya. Di Malaysia kalau diberikan apa-apa tempo untuk bergerak ke hadapan, para penyokong akan memberikan sokongan yang padu.
“Saya gembira dengan dengan persembahan yang ditunjukkan olehnya kerana dia ada mengubah sedikit tempo permainan pasukan serta kepantasannya di bahagian serangan,” ujarnya lagi.
Selangor FC akan bertemu Negeri Sembilan FC untuk minggu perlawanan yang ketiga pada 26 Mei ini di Stadium MBPJ.