KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) pada Rabu telah memutuskan barisan pengadil yang akan mengendalikan perlawanan pembukaan Piala Asia AFC 2023 yang akan berlangsung pada 12 Januari 2024 di Stadium Lusail, Qatar

Terkenal sebagai salah seorang pengadil berkaliber di Asia, Alireza Faghani telah dipilih untuk menjadi pengadil utama perlawanan pertama Kumpulan A antara tuan rumah yang juga penyandang juara, Qatar dan Lebanon yang akan bermula jam 7 malam sekaligus memulakan kempen kejohanan bola sepak terbesar Asia.

Pengadil berasal dari Iran tetapi kini memegang kerakyatan Australia itu akan dibantu dua lagi pembantu pengadil dari Australia, Anton Shchetinin dan Ashley Warwick Beecham manakala dua pengadil Korea Selatan, Ko Hyung-jin dan Yoon Jae-yeol sebagai pengadil keempat dan pengadil simpanan.

Seorang lagi pengadil Australia, Evan Shaun Robert akan menjadi Pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) manakala rakan sejawatnya, Kate Jacewicz bakal menjadi pengadil wanita pertama di Piala Asia sebagai pembantu VAR.

Faghani akan mengendalikan perlawanan ke-13 peribadi dalam Piala Asia di penampilan keempat selepas menjadi pengadil keempat dalam empat perlawanan ketika edisi 2011 serta lima perlawanan pada edisi 2015 termasuk final antara Korea Selatan dan Australia manakala dua lagi perlawanan diadilinya pada edisi 2019.

Pengadil Terbaik AFC 2016 dan 2017 itu berpengalaman luas di peringkat antarabangsa dengan pernah menjadi pengadil di Piala Dunia 2014, 2018 dan 2022 dengan pencapaian tertinggi mengadili aksi penentuan tempat ketiga antara Belgium dan England di Russia.

Selain itu dia juga berpengalaman di peringkat kejohanan kelab Asia apabila sudahpun mengadili 66 perlawanan Liga Juara-Juara AFC termasuk aksi final pada 2014 serta Piala Dunia Kelab Fifa.

Perlawanan pembukaan ini juga akan menyaksikan pengenalan sistem Semi-Automated Offside Technology (SAOT) dalam pertandingan AFC sekaligus menjadikan AFC konfederasi dunia pertama yang menggunakan sistem ini di kejohanan antarabangsa.

Sistem SAOT ini akan melengkapi teknologi VAR yang turut melakukan debut penuh di Piala Asia dan akan digunakan dalam kesemua 51 perlawanan yang bakal berlangsung.