BEKAS pemain Liverpool dan Wales, Joe Allen mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa pada usia 32 tahun ekoran masalah kecederaan yang dilaminya.
Allen membuat penampilan sulung di Wales pada tahun 2009 bersama-sama Gareth Bale dan Aaron Ramsey mengambil keputusan menamatkan karier bersama Wales selepas membuat 74 penampilan dan hanya akan memberi fokus bermain untuk pasukan Kejuaraan Swansea.
“Bermain untuk Wales adalah satu keghairahan dan cinta yang mendalam dalam diri saya dan saya amat bertuah.
“Sokongan daripada negara kita memberi inspirasi dan ia membuatkan saya merasa begitu berbangga dapat memakai baju kebangsaan – begitu banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Malangnya, masa dan kecederaan menjadi penghalang, jadi sudah tiba masanya untuk saya memberi laluan kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Allen juga turut bersama pasukan dalam kejohanan Euro 2016 yang menyaksikan Wales mara ke separuh akhir dan membantu Wales layak ke Euro 2020 serta layak ke Piala Dunia pertama mereka sejak 1958 di Qatar lalu.
Dalam saingan Liga Perdana Inggeris pula, Allen bermain untuk Liverpool dan Stoke sebelum kembali ke Swansea tahun lalu serta membuat penampilan terakhir bersama Wales ketika mereka tewas di peringkat kumpulan menentang England di Piala Dunia Qatar.