ALTIMET telah menyatakan kesanggupannya untuk menawarkan separuh daripada kutipan royalti harta inteleknya bagi membantu membayar denda yang dikenakan terhadap Selangor FC, susulan penarikan diri pasukan itu pada perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu.
Rapper dan komposer terkenal itu membuat pengumuman tersebut melalui platform media sosialnya pada Selasa.
“Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bantu bayar denda ni, jika SFC sudi,” kata Altimet dalam hantaran tersebut.
Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini utk bantu bayar denda ni, jika SFC sudi. #SELANGORSAMPAIMATI https://t.co/JWMuh7LMr9 pic.twitter.com/K7h5LhslXH
— Altimet.eth (@altimet) June 25, 2024
Altimet, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, turut menyertakan pautan artikel daripada sebuah portal mengenai hukuman yang dikenakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap Selangor FC.
Dalam kenyataannya, MFL menyatakan bahawa Selangor FC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, susulan ketidakhadiran mereka pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, bulan lalu.