SELANGOR FC terus menambah koleksi pemain import apabila terbaharu mengumumkan Alvin Fortes sebagai senjata baharu menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.
Pemain kelahiran Cape Verde itu yakin bahawa Selangor merupakan kelab yang terbaik untuk beliau teruskan karier profesionalnya.
“Saya tahu akan kewujudan kelab Selangor FC dan sentiasa mengikuti perkembangan mereka. Bagi saya, ini adalah kelab besar yang mempunyai kemudahan untuk berlatih yang berkualiti dan mereka juga bermain dengan baik dalam liga musim lalu.
“Jadi, saya rasa ini kelab yang terbaik untuk saya teruskan kerjaya bola sepak,” ujar Fortes dalam kenyataan rasmi kelab.
Fortes merupakan pemain terbaru ketiga yang diperkenalkan untuk membarisi skuad utama selepas Selangor FC memperkenalkan pemain pertahanan, Umarbek Eshmurodov dan penyerang baharu, Ronnie Fernández semalam.
Sepanjang karier, Fortes telah melebarkan sayap ke beberapa buah negara seperti Finland, Turki, Greece dan Republik Czech untuk mengembangkan karier bola sepaknya.
Semasa usianya 20 tahun, Fortes berjaya membuat debut profesionalnya bersama kelab di negara kelahirannya, Belanda, RKC Waalwijk, menentang FC Den Bosch dalam kejohanan Eerste Divisie.
Pada tahun 2021, Fortes telah berkelana di Uzbekistan beraksi dalam saingan O’zbekiston Superligasi, Uzbekistan Cup termasuklah AFC Champions League (ACL) bersama FC AGMK.
Sementara itu, pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe percaya Fortes akan membantu di bahagian sayap kiri dan kanan pasukan.
“Musim lalu, saya lihat antara kelemahan yang kita hadapi adalah ketiadaan seorang pemain sayap tulen yang mampu menambah kekuatan pasukan di bahagian serangan. Dengan adanya Fortes, saya nampak kita mampu selesaikan masalah di bahagian kiri atau kanan serangan terutamanya semasa bersaing di pentas Asia nanti.
“Beliau juga pernah beraksi di liga Thailand, jadi saya harap Fortes tidak akan ambil masa yang lama untuk menyesuaikan dirinya bermain di sini,” katanya.